Pengawetan Spesimen Biologi

Pengawetan spesimen menjadikan sesuatu spesimen biologi tahan lama dan tidak mudah rosak supaya spesimen berkenaan boleh digunakan sebagai bahan bantu mengajar. Dua jenis pengawetan yang asas ialah:
  • ·         Pengawetan basah
  • ·         Pengawetan kering


Pengawetan basah
Spesimen yang diawet di dalam larutan pengawet yang sesuai. Etanol dan formalin merupakan dua jenis bahan yang sering digunakan sebagai bahan pengawet. Etanol adalah bahan pengawet yang terbaik tetapi harganya jauh lebih mahal daripada formalin. Oleh itu, etanol sering digunakan untuk spesimen bersaiz kecil sahaja manakala formalin pula digunakan untuk mengawet specimen yang lebih besar.

Balang spesimen merupakan bekas terbaik untuk menyimpan spesimen. Jika balang spesimen sukar diperoleh, balang reka ganti yang sesuai boleh digunakan. Sebagai contoh, botol-botol kaca tanpa warna, tinggi, bermulut lebar,  dan mempunyai penutup seperti botol Nescafe adalah sesuai.
Pengawetan basah sesuai digunakan untuk menyimpan spesimen haiwan kecil. Sekiranya sesuatu spesimen tumbuhan perlu diawet untuk mengekalkan warna asal bahagian-bahagiannya, maka pengawetan basah juga adalah sesuai. 

Contoh 1:  Pengawetan Spesimen Haiwan Secara Basah.


Bahan/Radas:

  1. spesimen pilihan
  2.  botol pilihan
  3.  botol spesimen (saiz bersesuaian dengan saiz spesimen)
  4. sekeping kaca nipis segi empat tepat (muat untuk dimasuk dan disandarkan pada dinding botol spesimen)
  5. bahan pengawet, sama ada Etanol atau Formalin (formalin asal berkepekatan 40%)



(Nota: kepekatan bergantung kepada saiz spesimen)
SPESIMEN
KEPEKATAN PENGAWETAN
Haiwan kecil (seperti serangga dan invertebrate lain)
Alcohol 70-80%
Haiwan besar (seperti moluska, amfibia, reptilia dan mamalia)
Formalin 4% (100ml 40% formalin asal + 900ml air suling)

          6. tali nilon atau benang
          7. kloroform
          8. kapas
          9. forsep (dan peralatan lain yang sesuai)

Kaedah:

1.    matikan spesimen dengan menggunaka kloroform dalam sebuah botol berpenutup.
(Nota: sebagai pilihan, spesimen boleh dimatikan dengan cara-cara lain tetapi yang penting ia dimatikan dalam tempoh yang pendek dan kurang menyakitkan)
2.    ikat spesimen pada sekeping kaca nipis segi empat tepat dengan tali nilon atau benang. Pastikan susunan anggota spesimen pada kedudukan yang terbaik supaya setiap bahagian dapat dilihat dengan jelas.
3.    Masukkan kepingan kaca berspesimen dalam keadaan tersandar dengan baik pada dinding botol spesimen. Atur kedudukan terbaik yang memungkinkan spesimen dapat dilihat dari pelbagai sudut dengan jelas dan baik.
4.    Botol pengawet mestilah diisi dengan bahan pengawet sehingga ke aras di mana apabila botol ditutup, tiada ruang udara didalamnya.
5.   Sapu tepi tudung dengan lilin cair supaya kedap udara. (Nota: udara boleh mengoksidakan etanol atau formalin dan menjadikannya kurang berkesan).
6.    Tampalkan label yang mengandungi maklumat-maklumat berikut:
       ·         Nama sains
·         Nama am
·         Tarikh
·         Habitat/tempat spesimen diperoleh
·         Nama pengumpul
·         Larutan pengawet
Nota:
1.    Bagi spesimen yang tebal, misalnya katak, kita perlu menyuntik formalin 4% ke dalam tubuhnya bagi memastikan anggota dalam turut diawet. Bagi ular pula, kita harus menyuntik setiap jarak 5cm di sepanjang tubuhnya.
2.    Oleh kerana alcohol (etanol) mudah meruap maka pemeriksaan secara berkala perlu dijalankan bagi mengelakkan kekeringan yang seterusnya merosakkan spesimen yang diawet.

Contoh 2: Pengawetan Spesimen Tumbuhan Secara Basah

Bahan/Radas

1.    Spesimen pilihan
2.    Botol pilihan
3.    Botol spesimen (sesuai dengan saiz spesimen)
4.    Bahan pengawetan (jenis pengawetan dan kepekatan bergantung kepada jenis dan bahagian  spesimen)
Kaedah:

Spesimen
Bahan dan kepekatan pengawet
Alga, kulat dan buah yang lembut
Larutan Formalinasetik  -alkohol (FAA)
(Campurkan kira-kira 5ml asid asetik glacial, 90ml etanol 70% dan 5ml formalin asal – formaldehid 40%)
Buah (bagi mengekalkan warnanya)
Larutkan 50g zink klorida dalam 1liter air suling. Tambahkan 25ml formalin dan 25ml gliserol.
Bahagian berwarna hijau ingin dikekalkan
Rendamkan spesimen ke dalam larutan mendidih kuprum (II) asetat ke dalam asid asetik glacial yang telah dicairkan selama 10 minit.
·         Biarkan larutan sejuk
·         Basuh spesimen dengan air mengalir
·         Simpan spesimen dalam larutan formalin 5%
Nota: satu bahagian larutan tepu kuprum (II) asetat dalam asid asetik glacial dicampurkan dengan empat bahagian air)
Tumbuhan secara umum
·         Rendamkan dalam larutan kuprum (II) sulfat 5% selama 24 jam
·         Simpan untuk pengawetan dalam larutan natrium sulfit (Na2SO3) berkepekatan 0,2 molar.

·         Sebaik spesimen tumbuhan telah dimasukkan ke dalam larutan pengawet terakhir, langkah seterusnya sama seperti pengawetan haiwan (langkah 4-6)

Pengawetan Kering
Untuk pengawetan kering, specimen tidak direndam dalam sebarang bahan pengawet. Walau bagaimanapun, specimen yang diawet secara kering tidak boleh bertahan lama sekiranya langkah-langkah penjagaan berterusan kurang diberi perhatian. Tempat penyimpanan harus kering, gelap, bebas daripada kehadiran sebarang perosak dan berhawa dingin.
Setiap bahagian bagi sesuatu tumbuhan biasanya disimpan sebagai sampel secara pengawetan kering, tetapi warna asalnya tidak dapat dikekalkan. Koleksi specimen tumbuh-tumbuhan yang dikeringkan, disimpan dan dikelaskan secara sistematik dipanggil herbarium. Pengawetan kering juga sesuai digunakan untuk mengawet bahagian luaran sesuatu haiwan kecil.

Contoh 3: Pengawetan spesimen haiwan secara kering

Kaedah:
1.    Setelah spesimen dimatikan, bagi spesimen bersaiz besar – keluarkan bahagian tubuh yang mudah rosak (seperti sistem pencernaan) dan tempatnya digantikan dengan bahan kering lain (sabut atau kapas). Tempat pembedahan hendaklah dijahit dengan baik dan kemas supaya kesan-kesan pembedahan dapat diminimumkan.
2.    Bahagian-bahagian lembut lain yang sukar dikeluarkan atau mempunyai tisu yang tebal bolehlah diawet secara suntikan seperti kaedah berikut:

Spesimen

Kaedah pengawetan
Burung dan haiwan kecil lain
Suntikan formalin 3%
Nota: bahagian mata boleh digantikan dengan 
mata palsu
Serangga
·         Suntikkan formalin 3% di bahagian kepala , toraks dan abdomen
·         Spesimen ini disimpan di atas papan khas bagi membolehkan sayapnya tidak rosak.

3.    Keringkan spesimen haiwan kecil sebaiknya di dalam ketuhar pada julat suhu di antara 50-70oc. Untuk serangga, biarkan selama dua minggu sehingga menjadi kering.
4.    Pastikan spesimen telah cukup kering sebelum disimpan atau dipamerkan. Adalah dicadangkan agar spesimen ini disimpan di dalam kotak kaca yang kalis kelembapan kerana kita boleh meletakkan bahan pengawet tambahan (misalnya naftalena atau racun perosak di dalam kotak itu) untuk menambah ketahanan spesimen.

Contoh 4: Pengawetan spesimen tumbuhan secara kering.

Kaedah:
Penyediaan herbarium melibatkan proses-proses berikut:

1.    Pengumpulan
Bagi mengumpul sesuatu jenis spesimen tumbuhan, kita terpaksa mengumpul beberapa bahagian pentingnya seperti contoh buah, daun dan bunga bagi membantu kita semasa peringkat (e) dan seterusnya. Jika tumbuhan itu bersaiz kecil, adalah lebih jika bahagian-bahagian akar dan struktur istimewa tumbuhan itu dimasukkan. Keratan spesimen yang diambil haruslah segar dan sihat.

2.    Penekanan
Spesimen perlu disusun mendatar di antara kertas akhbar lama. Pastikan bahagian-bahagiannya seperti daun dan bunga terbuka/terkembang untuk mudah dilihat. Bahagian daun pula perlu diselang-selikan antara bahagian yang terlentang dan tertiarap. Letakkan papan lapis di bahagian atas dan bawah susunan spesimen-spesimen itu. Untuk menambah tekanan, ketatkan ikatan susunan papan lapis atau tindih dengan pemberat.

3.    Pengeringan
Bahagian-bahagian daun dan bunga biasanya cepat kuncup dan layu, oleh itu kita terpaksa mengeringkannya dalam alat tekanan. Jika ini tidak dapat dilakukan, kita boleh mengeringkannya di dalam ketuhar pada suhu 45 – 60oc selama 3 – 6 hari. Jika ini juga tidak dapat dilakukan, kita boleh mengeringkannya dalam udara biasa tetapi kertas akhbar mestilah sentiasa ditukar selang sehari dan berat pemberat sentiasa ditambah selama kira-kira 2 minggu)

Nota: spesimen yang belum mati sepenuhnya tidak boleh dikeringkan. Jika tidak, spesimen berkenaan akan layu semasa pengeringan. Bagi mengatasi masalah ini, kertas pembalut hendaklah disemburkan dengan larutan formalin 40%. Buangkan kertas yang sudah dilembapkan apabila penukaran berikutnya dilakukan.
4.    Pemanjangan
Spesimen yang kering disusun di atas kertas tebal dan terang (putih atau cerah) bersaiz 28cm X 43cm. Spesimen perlu dilekatkan pada kertas dengan menggunakan kertas pelekat atau bena. Kaedah ini baik kerana kita boleh memindahkan spesimen ke atas bahan lain tanpa merosakkan spesimen. Penggunaan gam tidak digalakkan kerana ia boleh merosakkan spesimen. Pelekat selofan pula kurang sesuai kerana ia mudah rosak dan bertukar warna serta hilang pelekatnya. Untuk mengelakka serangan perosak atau kulat, spesimen perlu dititikkan atau disapu dengan larutan merkuri klorida 2% di dalam alkohol.

5.    Pengelasan
Untuk mengenal pasti spesimen, pengumpul perlu membuat rujukan sama ada pada buku atau pakar dalam bidang pengelasan misalnya muzium, universiti atau Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

6.    Pelabelan
Nilai sesuatu koleksi herbarium bergantung kepada perlabelan yang tepat mengenai maklumat-maklumat berikut:
  • Nama saintifik/botani
  • Nama tempatan/asal
  • Nama bahasa inggeris
  •  Lokasi spesimen boleh ditemui
  • Nama orang yang menemui/mengumpul
  • Tarikh
  • Warna asal dan bentuk bunga
  • Jenis sama ada pokok renek, herba, memanjat atau sayuran
  • Jika pokok – warna batang, tebal kulit dan sebagainya
  • Tarikh berbuah atau berbunga
  • Jenis tanah tempat spesimen tumbuh
  • Sifat tumbuhan seperti kaedah pendebungaan dan penyebaran biji benih

Label biasanya diletak pada satu sudut herbarium itu. Pastikan anda menomborkan setiap spesimen dan menyimpan salinan untuk rujukan (khususnya apabila anda ingin menghantar spesimen untuk dikenal pasti oleh pihak yang tertentu.

7.    Penyimpanan
Untuk memastikan herbarium tahan lama, ia hendaklah sentiasa disimpan dalam keadaan yang gelap, kering dan sejuk.

3 comments: