Pengenalan kepada Projek

Projek ‘Learning By Doing’ ini merupakan projek yang memberi peluang kepada pelajar khususnya guru pelatih PISMP Sains Semester 2 Tahun 3 untuk mempelajari, memahami dan mempraktikkan kemahiran pengurusan makmal sains dan sumber melalui pembelajaran berasaskan projek.

Untuk melaksanakan projek ‘Learning By Doing’ ini, kumpulan kami telah diberikan peluang untuk mengurus makmal sains di Sekolah Kebangsaan Kem Kabota Tawau. Secara keseluruhannya, kami telah menfokuskan pengurusan makmal sains dan sumber sekolah ini secara menyeluruh iaitu dari aspek pengurusan luaran sehinggalah aspek dalaman makmal sains ini.

Selepas membuat pemerhatian dan pencerapan pengurusan makmal sains sekolah. Kami telah mengenalpasti perkara-perkara dan kelemahan-kelemahan yang wujud dalam pengurusan makmal sains dan sumber sekolah ini seterusnya mengadakan kolaborasi iaitu perbincangan bersama guru-guru sains sekolah untuk mencadangkan penambahbaikan pengurusan makmal sains sekolah. Selepas mencadangkan penambahbaikan tersebut, kami sekumpulan pun memikirkan alternatif untuk pelaksanaan projek dan akhir sekali melaksanakan projek ini secara berperingkat-peringkat mengikut pelan tindakan yang telah dibuat.